Kisah Wahsyi Bertanya Nabi Tentang Keampunan Allah

Wahsyi, Hamba Yang Ingin Kemerdekaan Diri

Kisah seorang (sahabat) bernama Wahsyi (ketika itu masih belum Islam) yang terkenal dikalangan kita sebagai seorang hamba seorang pembesar (kafir) Quraisy yang telah membunuh Sayidina Hamzah RA. Bin Abdul Muthalib, iaitu bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW. Kita semua tahu bagaimana sedihnya baginda Nabi SAW bila mengetahui akan kematian bapa saudaranya itu ketika perang Uhud dibunuh oleh Wahsyi yang ketika itu ditawarkan kemerdekaan bagi dirinya sekiranya berjaya membunuh Sayidina Hamzah RA. Akhirnya beliau berjaya membunuh Sy. Hamzah RA dengan tombaknya semata² untuk memerdekakan dirinya, bukan sebagai tentera kafir Quraisy.

Hadis Palsu Makan Hati Sayidina Hamzah RA

Sebenarnya cerita yang kita hadam sekian lama mengenai Wahsyi yang berbangsa Habasyah (satu negara di Afrika) ini, kononnya dia diupah oleh seorang perempuan bernama Hindun untuk membunuh Sayidina Hamzah RA, yang kononnya juga Hindun kemudian melakukan kekejaman ke atas mayat Sayidina Hamzah RA. dengan membelah dadanya dan memakan hatinya. Hakikatnya ulama kita telah menyatakan bahawa kisah Hindun (yang kemudian telah masuk Islam) yang berlaku kejam dan makan hati S. Hamzah RA itu adalah PALSU.

Kisah Wahsyi Yang Lebih Shahih

Kisah yang dipalsukan itu menurut Maulana Asri Yusoff, adalah dari riwayat Ibnu Ishak, yang dikatakan menjurus kepada fahaman Syi'ah. Sedangkan riwayat yang lebih shahih adalah dari riwayat Imam Bukhari. Sila baca artikel Maulana Asri Yusoff kisah yang lebih lanjut bagaimana Wahsyi membunuh Sy. Hamzah RA dan benarkah Hindun menyiksa dan memakan hatinya..!!?

Seperti yang kita sedia maklum, (kepada yang belum tahu sila baca artikel Maulana Asri Yusoff di link di atas), Wahsyi telah pon menjadi Muslim walaupon asalnya takut dihukum oleh kaum Muslimin atas peristiwa pembunuhan bapa saudara Nabi SAW sebelum itu. Namun Rasulullah SAW yang telah memaafkannya sebagai seorang Muslim, Rasulullah SAW memintanya untuk tidak menunjukkan mukanya di hadapan Rasulullah SAW.
Bila orang Ta’if menghantarkan utusan-utusan kepada Rasulullah SAW maka ada orang berkata kepada saya, “Nabi tidak mengganggu utusan,” kerana itu saya pun menyertai golongan utusan itu untuk mengadap Nabi SAW. Bila Nabi SAW melihat saya, Baginda pun bertanya, “Adakah engkau Wahsyi?” Saya menjawab, “Ya.” Baginda SAW bertanya lagi, “Engkaukah yang telah membunuh Hamzah?” Saya menjawab, “Berita yang sampai kepada tuan itu adalah benar.” Nabi SAW pun bersabda, “Bolehkah engkau sembunyikan mukamu dari pandanganku?” Wahsyi berkata, “Aku pun pergi dari situ”.

Maka sejak dari itulah Wahsyi RA, mula menjadi seorang sahabat Nabi SAW yang tidak pernah lagi berada di hadapan Nabi SAW, melainkan beliau akan pastikan dirinya sentiasa berada di belakang Nabi SAW, kerana akur akan perasaan baginda Nabi SAW yang akan sedih kerana teringat kepada kematian Sy Hamzah RA, bapa saudaranya.


3 Soalan Wahsyi Kepada Rasulullah SAW, Tentang (Jaminan) Pengampunan Allah SWT

Diringkaskan cerita, apa yang saya nak sampaikan adalah suatu pelajaran dari Wahsyi RA untuk kita ummat Muhammad SAW. Suatu dialog menarik untuk dikongsi iaitu persoalan yang dikemukakan oleh Wahsyi RA kepada Rsulullah SAW, melalui seorang sahabat sebagai orang tengah (saya lupa akan nama sahabat rersebut). Kisah dialog ini diceritakan oleh Ust. Dr. Nizam di sebuah Masjid di Selangor awal bulan Februari 2017 ni.

Antara point penting yang sempat saya catat dalam kuliah maghrib tu, menurut Ust. Dr. Nizam, Wahsyi RA, benar² rasa menyesal atas perbuatannya membunuh bapa saudara Nabi SAW, insaf dan ingin bertaubat mengharap pengampunan Allah & Rasul Nya. (Hakikatnya memang perkara tu sudah menjadi Qada' & Qadar Allah, bahkan kalau bukan kerananya boleh jadi Wahsyi RA masih hamba abdi, atau masih belum Islam, wallahua'lam).

Ust. Dr. Nizam kata (apa yg saya ingat) soalan dari Wahsyi RA bertanya, melalui sahabat, kepada Rasulullah SAW:

Soalan Wahsyi RA:

1. "Adakah Allah mengampunkan Dosa² aku ?" (lebih kurang bunyi soalannya)..

Jawapan Nabi SAW, (turunnya Ayat Allah):
Surah Al Furqaan, Ayat 68
"Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya". [QS 25:68]

dan disambung dengan ayat dari..

Surah Maryam, Ayat 60
"Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun". [QS 19:60]

Kemudian Wahsyi RA merasa tak puas hati dengan jawapan tersebut kerana dikatakan ada syarat beramal soleh, sedang beliau merasa 'terbeban' atau 'tak mampu' andai tak cukup syarat 'beramal soleh' dalam ayat tersebut, lalu beliau tanya lagi untuk kali kedua:

Berani betul Wahsyi sanggup tanya lagi untuk dapatkan jawapan yang memuaskan hatinya, kalau kitalah, memang setakat itu aje lah soalannya, tak berani nak tanya lagi dah, seolah² kita tak puashati dengan jawapan Allah dan nak tanya lagi.

2. "Tolong sampaikan kepada Rasulullah SAW, aku masih belum puas hati dengan jawapan (Allah) itu".

Jawapan - Nabi SAW tak marah, bahkan baginda menjawab melalui Ayat Allah:
Surah An Nisa', Ayat 48
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya, dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar". [QS 4:48]

Lepas dapat jawapan kedua dari sahabat (orang tengah) ni, Wahsyi masih lagi tak puas hati, menurut Ust. Dr. Nizam, Wahsyi tak puas hati tang ayat 'bagi sesiapa yang dikehendakiNya'.. bermakna dia masih belum rasa selamat dari hukum Allah kerana ayat tersebut seperti 'bersyarat'.

Lalu Wahsyi minta sahabat ni tanya lagi kepada baginda Nabi SAW, untuk kali yang ketiga:

3. "Tolong sampaikan kepada Rasulullah SAW, aku masih belum puas hati dengan jawapan yang kedua ini". (lebih kurang begitulah soalan permintaannya)..

Dijawab lagi oleh Rasulullah SAW yang bersifat mengasihi umatnya itu, melalui Ayat Allah:
Surah Az Zumar, Ayat 53
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". [QS 39:53]

Kali ini Wahsyi RA mula rasa selamat dan berpuas hati dengan jawapan Rasulullah melalui Ayat Allah itu.

Sebenarnya inilah Rahmat Allah SWT dan jawapan untuk kita yang banyak berdosa, berbanding Wahsyi yang telah bertaubat.. Dialog atau soalan beliau itu sebenarnya adalah soalan kita untuk mendapatkan jaminan Allah, bahawa Maha Pengampunnya dan Maha Pengasihnya - Allahu Ghafurur Raheem.. wallahua'lam..

Marilah kita sama² menghayati Ayat² Nya itu tadi, semoga Allah menerima taubat kita.. aaameen..

No comments:

Powered by Blogger.