Peristiwa Al Isra' Wal Mi'raj

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad S.A.W) pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". [Surah Al Israa' - 17:1]
Selawat & Salam.. "Allahuma Soli'ala Sayyidina Muhammad Wa 'Ala Ali Sayyidina Muhammad"

Al Isra'

Peristiwa Isra' & Mi'raj merupakan peristiwa besar dalam sejarah Islam dan sejarah tamadun manusia keseluruhannya. Ia merupakan suatu peristiwa seorang manusia (hamba Allah) yang terpilih iaitu Muhammad - Rasulullah SAW (Sallallahu 'Alaihi Wassalam) yang diperjalankan oleh Allah dengan Kekuasaan Allah sendiri membawa manusia agung Muhammad SAW ini hanya dalam satu malam dari Masjidil Haram di Makkah menuju Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis Palestine. Perjalanan inilah yang dinamakan Isra' / Israk. Hakikat zahirnya perjalanan ini mengambil masa 1 bulan pergi dan 1 bulan kembali. Namun Allah memperlihatkan KekuasaanNya memperjalankan Baginda SAW hanya dalam masa singkat dengan mengurniakan Baginda SAW sejenis tunggangan bernama Buraq yang diriwayatkan sekali langkahnya sepantas kilat ia bergerak menuju destinasi. Dan Baginda SAW juga ditemani Malaikat Jibril AS ('Alaihis Salam).


Al Mi'raj

Setelah sampai di Masjidil Aqsa, Baginda Rasulullah SAW telah ditunggu oleh para Nabi di sana yang kemudiannya Baginda memimpin (menjadi imam) solat para Nabi di Masjidil Aqsa. Dari sini kemudian Baginda Rasulullah SAW dibawa naik ke langit oleh Allah melepasi 7 petala langit hingga sampai ke Sidratul Muntaha, suatu tempat yang tiada siapa mampu sampai dengan izin Allah SWT (Subhana Wa Ta'ala). Hatta Malaikat Jibril AS yang merupakan Penghulu segala Malaikat itu pon tidak mampu untuk naik ke Sidratul Muntaha untuk menghadap Allahu Rabbul 'Alamin (Allah Tuhan Sekelian Alam). Dan peristiwa menakjubkan inilah yang dinamakan Mi'raj / Mikraj. (Mi'raj bermaksud tangga dalam bahasa Arab)

Kisah Isra' dan Mi'raj ini ada baiknya dimulai dengan sejarah bagaimana ianya bermula..

Sejarah berlakunya Al Isra' Wal Mi'raj


Peristiwa ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah SAW. Antaranya kematian ayah saudara Baginda iaitu Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah RA (Radhiallahu Anhu). Begitu juga termasuk peristiwa dukacita ialah penolakan penduduk Taif terhadap dakwah Baginda SAW. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan 'hiburan istimewa' dari Allah SWT kepada kekasihNya - Muhammad SAW.

Peristiwa Isra'


Pada malam yang mulia itu Jibril AS telah datang kepada Rasulullah SAW yang sedang tidur di Ka’bah. Jibril telah membawa Rasulullah SAW menaiki Buraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Di Masjidil Aqsa sedang berlaku satu perhimpunan yang sangat luar biasa. Allah telah menghidupkan para Rasul dan Para Nabi untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ulama' menyebut jumlah para Rasul adalah 313 orang dan jumlah para Nabi adalah 124,000 orang.

Allah hadirkan mereka semua (para Nabi & Rasul) untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Tidak ada tempat di dunia ini yang semua para Rasul dan Para Nabi telah berkumpul di situ melainkan Baitul Maqdis. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa semua Rasul dan Nabi menunaikan haji di Makkah. Rasulullah SAW telah mengimamkan sembahyang seluruh para Rasul dan para Nabi. Demikianlah kemuliaan Rasulullah SAW. Ia adalah sebuah persidangan para Rasul dan para Nabi. Sebuah peristiwa yang mungkin tidak berulang kali kedua di bumi ini.
Harus diingat, (untuk golongan mu'allaf & golongan yang baru mengenal Islam) bahawa para Rasul & Nabi ketika peristiwa Israk & Mikraj ini, mereka semua telah tiada, kecuali Nabi Muhammad SAW sahaja yang hidup ketika itu, tetapi didatangkan semula oleh Allah (dalam peristiwa tersebut).
Selepas sembahyang Jibril AS telah membawa membawa satu bekas susu dan satu bekas arak kepada Rasululah SAW. Rasulullah SAW telah memilih susu. Kata Jibril kepada Rasulullah s.a.w.: "Kamu telah terpimpin kerana memilih susu wahai Rasulullah, begitulah juga umat kamu". Ini adalah isyarat pertama bahwa arak itu suatu yang tidak baik. Ketika itu, arak masih belum disyariatkan sebagai haram lagi, selepas itu barulah ia (arak itu) diharamkan. Allah telah memelihara Rasulullah SAW, Baginda tidak pernah minum arak dari kecil lagi (sebelum kedatangan Islam).

Peristiwa Mikraj


Setelah itu Rasulullah SAW dibawa naik ke langit. Inilah kuasa Allah yang tiada batasannya. Rasulullah SAW telah dibawa dalam perjalanan yang begitu jauh dalam masa yang terlalu singkat. Allah mahu mengajar kepada hambanya bahawa kalau Allah mahu, Allah boleh berbuat sesuatu yang diluar jangkauan akal dan kekuatan manusia. Bila dibuka pintu langit pertama kepada Rasulullah SAW, Baginda telah melihat berbagai perkara yang ajaib. Antaranya Rasulullah SAW melihat seorang lelaki yang tinggi, apabila lelaki itu berpaling ke kanan dia tersenyum dan apabila dia berpaling ke kiri dia menangis.

Langit Pertama


Rasulullah Saw bertanya kepada Jibril: "Siapa ini?" Kata Jibril: "Itulah Adam a.s. Apabila dia melihat ke kanan dia melihat kepada umatnya yang masuk syurga tersenyumlah dia. Apabila dia memandang ke kiri dia melihat umatnya yang masuk ke neraka, menangislah dia". Selepas itu Rasulullah SAW melihat, ada orang orang yang berenang dalam lautan darah. Apabila mereka sampai ke tepi mereka mengangakan mulut mereka lalu Malaikat melontarkan api-api neraka ke dalam mulut mereka. Rasulullah SAW bertanya Jibril: "Siapa mereka ini?" Kata Jibril: "Merekalah orang-orang yang makan harta anak yatim. Mereka disiksa di sini dulu sebelum disiksa di akhirat nanti".

Selepas itu Rasulullah SAW melihat orang-orang lelaki yang perut mereka besar. Mereka semua terlentang, kemudian datang kaum Firaun melalui mereka sambil memijak-mijak perut mereka. Kaum Firaun akan dibawa melihat neraka dua kali sehari supaya mereka dapat melihat tempat mereka nanti. Dalam perjalanan mereka pergi ke neraka mereka memijak-mijak perut lelaki-lelaki yang sedang terlentang ini. Rasulullah SAW bertanya: "Siapa mereka itu?" Kata Jibril: "Mereka adalah orang-orang yang makan riba. Mereka diiazab di alam barzakh sebelum diazab di neraka nanti".

Selepas itu Rasulullah SAW melintasi sekumpulan lelaki-lelaki yang dihadapan mereka dua jenis makanan. Satu yang lazat dan bersih satu lagi yang buruk dan busuk. Mereka makan makanan yang buruk dan busuk itu. Rasulullah SAW bertanya: "Siapa mereka wahai Jibril?" Kata Jibril: "Merekalah orang-orang yang berzina. Mereka mempunyai isteri yang halal tetapi mereka tetap mencari perempuan yang haram".

Langit Kedua - Ketujuh


Kemudian di langit yang kedua Rasululah SAW telah bertemu dengan Nabi Isa AS (Jesus pbuh /peace be upon him) dan Nabi Yahya AS. Dilangit yang ketiga Rasulullah SAW telah bertemu dengan Nabi Yusuf AS (Joseph pbuh). Di langit yang kelima bertemu dengan Nabi Harun AS (Aaron pbuh). Di langit yang keenam bertemu dengan Nabi Musa AS (Moses pbuh). Kemudian di langit yang ketujuh Rasulullah SAW telah melihat Baitul Makmur. Baitul Ma'mur adalah ka’bah kepada penduduk langit. Di situ para Malaikat bertawaf dan beribadah. (Di katakan kedudukannya tepat 90° dari kedudukan Ka'abah di Baitullah Makkah ke arah langit).

Di langit ketujuh ini Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki yang sedang bersandar ke Baitul Ma'mur. Rupanya mirip rupa Rasulullah SAW. Baginda bertanya: "Wahai Jibril, siapa orang ini?" Jawab Jibril: "Itulah bapa kamu Nabi Ibrahim AS". Di setiap langit Baginda telah disambut dan diraikan oleh para Nabi dan para Malaikat. Apabila sampai di penghujung langit yang ketujuh Rasulullah SAW melihat Jibril AS sudah berubah kepada kejadian asalnya. Itulah Jibril yang telah Rasulullah SAW lihat pada kali pertama ketika Rasulullah SAW berlari pulang ke rumah dari Gua Hirak (ketika wahyu pertama turun kepada Baginda). Ini adalah kali kedua Rasulullah SAW melihat Jibril dalam rupa sebenarnya itu.

Akhirnya Rasulullah SAW sampai di satu tempat yang tidak pernah seorang pun manusia sampai ke sana walaupun dia seorang Rasul dan Nabi. Kemudian Rasululah SAW melalui satu kawasan yang Malaikat pun tidak pernah sampai ke situ kecuali Jibril. Sampai di satu tempat Jibril meminta Rasulullah SAW bergerak ke hadapan. Diriwayatkan, sebagai tetamu, Rasulullah SAW dengan hormat dan beradap mempersilakan Jibril lebih dahulu kehadapan. Namun Jibril meminta Rasulullah SAW bergerak ke hadapan dan berkata: "Kalau aku ke hadapan walaupun selangkah, aku akan terbakar". Itu adalah had yang ditetapkan baginya sementara Rasulullah SAW diminta untuk terus kehadapan untuk menghadap Allah SWT.

Begitulah Allah telah memuliakan Rasulullah SAW, sampai di Sidratul Muntaha, sebuah tempat dan pertemuan yang sangat luar biasa. Diriwayatkan, situlah pertemuan agung antara 'kekasih' - Ar Rahman (Yang Maha Penyayang) dengan 'kekasihNya' - Muhammad Habibullah (kekasih Allah). Lihat perenggan² terakhir berwarna hijau di bawah, bagaimana berlangsungnya pengalaman luar biasa dan dialog istimewa antara Al Khliq (Pencipta) dan hambaNya yang terpilih ini.

Ketika ini jugalah Allah telah menyampaikan perintah Solat kepada Rasulullah SAW dan umat Baginda. Rasulullah SAW telah menerima perintah Solat terus dari Allah. Sementara seluruh syariat (perintah Allah) yang lain disampaikan melalui Jibril AS. Demikianlah, betapa agung dan betapa besarnya Solat di sisi Allah (untuk umat manusia).

Selepas pertemuan itu Rasulullah SAW turun dan bertemu dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa AS bertanya: "Apa yang Allah perintahkan kepada umatmu" Jawab Rasululah SAW: "Allah perintahkan 50 fardu Solat sehari semalam". Kata Nabi Musa: "Bani Israel telah diperintahkan kurang dari itu tetapi mereka tidak mampu melaksanakannya. Mintalah keringanan dari Allah". Rasulullah SAW kerana belas kasihan kepada umatnya telah (naik semula menghadap Allah dan memohon) meminta keringanan dari Allah sehinggalah Allah telah meringankannya (dari 50) menjadi 5 waktu sehari semalam. Walaupun hanya 5 kali perlaksanaannya tetapi Allah tetap akan memberi pahala 50 kali solat. Demikianlah Maha Pemurahnya dan Maha Mulianya Allah. Alhamdulillah (segala puji bagi Allah)..

Kembali Ke bumi


Selepas itu Rasulullah SAW turun ke Baitul Maqdis semula. Dari Baitul Maqdis Rasulullah SAW kembali semula ke Makkah. Dalam perjalanan ini Rasulullah SAW telah menyaksikan berbagai pemandangan. Rasulullah SAW telah melintasi satu kafilah yang menunggang unta. Apabila unta-unta itu melihat Buraq, ada yang lari ketakutan. Puaslah tuannya mencari tetapi unta itu sudah hilang. Rasulullah SAW telah memberitahu mereka tempat unta itu bersembunyi. Mereka semua merasa terperanjat apabila mendengar suara dari langit telah memberitahu mereka di mana unta mereka. Anehnya, apabila mereka pergi ke tempat itu mereka telah menjumpai unta mereka.

Sebelum terbit fajar pada malam yang sama, Rasulullah SAW telah berada di Makkah semula. Perjalanan dari Makkah ke Baitul Maqdis dan naik kelangit, kemudian turun semula ke Baitil Maqdis dan kembali ke Makah hanya berlaku dalam masa separuh malam sahaja. Demikianlah, Allah telah memperlihatkan kuasanya. Selepas menunaikan sembahyang Subuh, Baginda duduk di Ka'bah. Baginda cuba mengingati seluruh peristiwa-peristiwa ajaib yang dilaluinya semalam.

Apabila Abu Jahal melihat Rasululah SAW, dia dapat meneka bahawa ada sesuatu yang berlaku kepada Rasulullah SAW.. Dia datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Muhammad, adakah sesuatu telah berlaku kepada kamu?" Jawab Rasulullah SAW: "Ada". Abu Jahal bertanya lagi: "Apa yang telah berlaku wahai Muhammad?" Jawab Rasulullah SAW: "Malam tadi aku telah pergi ke Baitul Maqdis kemudian aku pulang semula kesini". Alangkah gembiranya Abu Jahal mendengar berita ini. Dia merasakan bahawa dia telah mendapat sesuatu yang baru untuk memburukkan Rasulullah SAW.

Ujian Keimanan Orang Islam & Tanggapan Kafir Quraisy Terhadap Israk Mikraj


Pada pagi itu Abu Jahal mengumpulkan orang ramai. Dia cukup gembira kerana sudah mempunyai bukti bahawa Rasulullah SAW memang adalah seorang yang menipu (kononnya). Dia telah mengistiharkan kepada orang ramai peristiwa Isra' dan Mi'raj itu. Anehnya orang ramai tidak percaya kepada cerita Abu Jahal itu. Mereka bertanya sendiri kepada Rasulullah SAW dan Rasululah SAW membenarkannya. Peristiwa telah menjadi ujian keimanan kepada orang-orang Islam ketika itu. Ada dikalangan mereka yang lemah iman telah kembali kepada kekufuran, sedang mereka mengetahui akan kejujuran manusia bernama Muhammad SAW 'Al Amin' (yang dipercayai) ini.

Penduduk Makkah memang sama sekali tidak dapat mempercayai hal ini, kecuali sangat sedikit. Mustahil begi mereka Muhammad boleh pergi ke Baitul Maqdis dan pulang semula ke Makkah dalam masa satu malam. Perjalanan mengenderai unta ke Baitul Maqdis mengambil masa sebulan. Ada di kalangan umat Islam mengadukan hal ini kepada Sayidina Abu Bakar RA. Kata Sayidina Abu Bakar RA: "Kalau itu dari Rasulullah SAW, maka ia adalah benar..!!"

Sayidina Abu Bakar RA segera mendapatkan Rasulullah SAW di Ka’bah. Dia melihat Quraisy sedang mengerumuni Rasulullah SAW. Abu Jahal yang panggil mereka semua supaya mereka datang mendengar cerita Rasulullah SAW. Selama ini dia dan pembesar-pembesar Quraisy melarang orang datang kepada Rasulullah SAW. Tetapi pada hari itu, merekalah yang memanggil orang datang kepada Rasulullah SAW. Mereka rasa ini satu kemenangan untuk mereka.

Sayidina Abu Bakar Diangkat Darjat - As Siddiq


Sayidina Abu Bakar RA terus mendapatkan Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah Rasulullah telah pergi ke Baitul Maqdis semalam?" Rasulullah membenarkannya. Kata Sayidina Abu Bakar: "Kamu telah bercakap benar wahai Rasulullah". Demikianlah kata-kata yang terbit dari imannya yang tidak berbelah bagi kepada Rasulullah SAW. Hati yang sangat mengenali dan yakin terhadap Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah SAW telah bersabda: "Kamu telah berkata benar wahai Abu Bakar yang membenarkan" (Abu Bakar As Siddiq أبو بكر الصديق).

Demikianlah peristiwa ini telah mengangkat maqam Sayidina Abu Bakar kepada maqam "As-Siddiq" (yang membenarkan). Inilah kali pertama Sayidina Abu Bakar dipanggil As-Siddiq. Begitulah iman Sayidina Abu Bakar RA. Dia tidak ragu langsung terhadap kebenaran Rasulullah SAW. Sayidina Abu Bakar tidak mempersoalkan Rasulullah SAW sedikit pun. Dia terus membenarkan Rasulullah SAW tanpa berfikir logik atau tidak ceritanya (kerana Rasulullah adalah Rasul Allah). Kafir Quraisy telah menyangkal keyakinan Sayidina Abu Bakar itu. Mereka berkata: "Bagaimana kamu boleh mempercayainya?! Orang mengambil masa sebulan untuk sampai ke Palestin dan mengambil masa sebulan pula untuk pulang ke Makkah! Bagaimana Muhammad boleh melakukannya dalam satu malam?!".

Jawab Sayidina Abu Bakar: "Aku telah membenarkan Rasulullah SAW dalam perkara yang jauh lebih besar dari itu!. Aku telah beriman dengan Rasulullah SAW tentang wahyu yang turun dari langit dalam masa sekelip mata. Kalau itupun aku telah mempercayainya, kenapa pula aku tidak mempercayai Rasulullah SAW telah pergi ke Baitul Maqdis dan pulang semula ke Makkah dalam masa satu malam sahaja?".

Selepas itu Sayidina Abu Bakar As Siddiq telah membuktikan kepada Kafir Quraisy bahwa Rasulullah SAW adalah benar dalam semua yang Rasululah diperkatakannya itu. Demikianlah Sayidina Abu Bakar mengenali dan memahami Rasulullah SAW. Sayidina Abu Bakar RA bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah SAW, kami semua tahu bahawa kamu tidak pernah pergi ke Baitul Maqdis, dikalangan kami ada yang pernah pergi ke sana, bolehkah Rasulullah SAW ceritakan kepada kami bagaimana Baitul Maqdis itu?".

Rasululullah SAW pun menjelaskan keadaan Baitul-Maqdis seperti yang Baginda lihat. Kafir Quraisy pula bertanya Rasulullah SAW, berapa jumlah tiang, pintunya dan tingkap Baitul-Maqdis. Mereka berusaha untuk membuktikan Rasulullah SAW tidak benar walaupun sudah jelas pada mereka Rasulullah SAW telah menceritakan tentang Masjidil Aqsa tepat seperti yang mereka tahu. Allah SWT telah menjelmakan Baitul-Maqddis dalam penglihatan Rasulullah SAW (mungkin boleh diibaratkan seolah² ada skrin besar 3D). Apa sahaja yang Kafir Quraisy pertanyakan, Rasulullah SAW dapat menjawabnya.

Bukti & Saksi Dari Rombongan Kafilah


Kafir Quraisy cukup terperanjat dengan jawapan Rasulullah SAW. Namun, hati mereka belum terbuka untuk beriman. Mereka tetap tidak menerima kebenaran Rasulullah SAW. Rasulullah SAW mencabar mereka: "Diantara kita ada bukti yang dapat disaksikan. Ada satu kafilah yang aku pintas mereka semasa perjalanan pulang". Rasululah memberitahu Quraisy ciri-ciri kafilah itu bahkan ciri unta yang mengetuai kafilah itu.

Kata Rasulullah SAW lagi: "Ada unta mereka yang hilang semasa perjalanan, aku telah menunjukkan kepada mereka tempat unta mereka bersembunyi". Quraisy bertaanya: "Bila kafilah itu akan sampai ke Makkah?". Jawab Rasulullah SAW. "Tiga hari dari sekarang". Selepas itu semua penduduk Makkah menunggu-nunggu ketibaan kafilah itu.

Pada hari tersebut, orang-orang Makkah sudah menunggu kafilah ini sejak awal pagi. Memang benar, kafilah itu sampai setelah tiga hari seperti yang Rasulullah SAW sebutkan. Kafilah ini didahului oleh seekor unta sama seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW (3 hari sebelumnya). Quraisy bertanya mereka tentang unta mereka yang hilang. Kata mereka: "Benar, seekor unta telah hilang tetapi kami mendengar suara dari langit memberitahu kami tempat unta itu bersembunyi". Kafilah itu terkejut, dari mana Quraisy mengetahui tentang unta mereka yang hilang itu. Demikianlah Allah telah membuktikan kebenaran RasulNya kepada penduduk Makkah. Tetapi kafir Quraisy tetap tidak mahu beriman, kerana sombongnya.


Ringkasan Peristiwa Israk & Mikraj


1. Sebelum Israk dan Mikraj


Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada, dilakukan oleh malaikat Jibril dan Mika'il. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah SAW dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan 'Israk' itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):


Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibril dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah SAW telah diarah oleh Jibril AS supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah SAW akan melakukan hijrah nanti;
  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS (Moses), menerima wahyu daripada Allah;
  3. Baitul-Laham, tempat Nabi 'Isa AS (Jesus) dilahirkan;
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Ifrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya:

• Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW dibertahu oleh Jibril: Itulah kaum yang berjihad Fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

• Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibril AS: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan). Sila search kisah Masyitah, tukang sisir anak Fir'aun.

• Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan lagi. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail AS memberitahu Rasulullah SAW: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibril AS: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

• Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

• Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang makan riba'.

• Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: Itulah orang yang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih mahu menerima amanah yang lain.

• Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

• Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

• Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

• Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Namun Rasulullah SAW tidak memperdulikannya. Kata Jibril: Itulah dunia. Jika Rasulullah SAW memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

• Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

• Seorang perempuan tua yang bongkok tiga menahan Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia' (para Nabi) dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibril: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat. (Ketika itu, arak masih halal).

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibril AS naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

  1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS (Adam). Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba' dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
  2. Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibril naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa AS (Jesus) dan Nabi Yahya AS (John).
  3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS (Joseph).
  4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS (Enoch).
  5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS (Aaron) yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
  6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS (Moses).
    Rasulullah SAW mengangkat kepala (disuruh oleh Jibril) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk suatu golongan seramai 70,000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab. (Ada riwayat lain dari Hadis mengatakan kisah Nabi SAW melihat umat baginda di akhirat nanti sangat ramai termasuk suatu golongan 70,000 orang akan masuk syurga tanpa hisab ini melalui mimpi Baginda)
  7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim AS (Abraham), Khalilullah (Teman Allah), yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah". Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SubhanAllah, Wal-hamdulillah, Wa la ilaha illAllah Allahu Akbar dan Wa la Haula Wa la Quwwata Illa Billahil- 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Lihat pada post Zikir Menanam Tanaman Di Syurga.
    Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah SAW dan Jibril AS masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Makkah).
  8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut 'Al-Kursi' yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke Syurga dan melihat Neraka berserta dengan (Malaikat) Malik penunggunya.
  9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
  10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah SAW sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad SAW, Rasul-Nya (Tuhan, Pencipta dan hambaNya Muhammad Habibullah):

Allah SWT : "Ya Muhammad".

Rasulullah : "Labbaika".

Allah SWT : "Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan".

Rasulullah : "Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan".

Allah SWT : "Aku ambilmu sebagai kekasihKu. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari Qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang".



Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah SWT perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya (fadhilatnya) sebanyak 50 waktu juga.. SubhanAllahh..

4. Selepas Mikraj


Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Makkah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat luar biasa itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
Wallahu'alam bissawab..

kisah ini dari perkongsian sumber yg dinyatakan di bawah, untuk kesahihan kisah sila rujuk Hadis² Sahih..


For English version of Al Isra' wal Mi'raj



img src: foundwalls.com | everythingnice.wordpress.com
src: suaramuhajirin313.blogspot.com

No comments:

Powered by Blogger.