Betulkah Doa Makan Yang Biasa Kita Baca Itu Tidak Sunnah?

Assalam.. Bab makan merupakan suatu bab yang sentiasa menarik bagi mana2 makhluk hidup sekalipun di alam semesta ini. Kerana Allah sebagai Pencipta yang menjadikan makhluk2 Nya hidup dengan keperluan kepada makanan, kecuali para Malaikat.




Nikmat Makan

Menariknya keperluan makhluk2 hidup Allah ini diciptakan dengan perlu kepada makanan tersebut disertai pula dengan rasa nikmat dalam pemakanan tersebut. Tidak seperti keperluan kepada oksigen atau cahaya, kita tak berapa 'merasai nikmat tersebut', tetapi keperluan kepada makanan sangat terasa nikmatnya ketika proses pemakanan tersebut berlaku.

Sehinggakan makhluk dari jenis manusia dan haiwan contohnya sanggup memilih makanan tertentu yang mungkin sukar diperolehi semata2 untuk menikmati makanan tersebut, walaupun nikmat itu hanya sekadar di antara lidah hingga tekak sahaja. Kemudian setelah makanan masuk kekerongkong hingga dalam perut, tidak terasa lagi nikmatnya, atau silap2 boleh jadi mudarat atau penyakit pula.. akhirnya keluar sebagai najis.

Namun apa yang membezakan kemuliaan kita sebagai makhluk dari jenis manusia berbanding makhluk lain seperti haiwan dan lain2 adalah, kita disarankan untuk mengingati Allah Pencipta kita dan Pencipta nikmat makanan tersebut, sebagai hamba (makhluk) yang diberi makan olehNya. Inilah topik hari ini perihal Doa Makan yang sepatutnya menjadi amalan kita (penulis khususnya) semua.


Doa Makan Yang Daif / Mungkar

Seperti yang diketahui doa makan yang biasa dibaca serta diajar oleh sekolah tadika kepada anak2 kecil kita yang biasa kita dengar seperti dibawah..

"Allahumma baariklana fiima razaqtana waqina 'azaabannar".

Doa ini kebanyakan kita sedia maklum ianya telah dibahaskan oleh ulama hadis (Muhadisin), statusnya adalah Daif Jiddan, daif (lemah) yang bersangatan, sangat2 lemah statusnya. Manakala Imam Bukhari menyatakan hadis ini Mungkar, iaitu buruk pada orang yang buruk hafalannya, banyak salah dan lalainya, nampak kefasikannya, serta bertentangan dengan hadis lain yang diriwayatkan oleh orang lebih dipercayai. Bukan buruk pada makna, kerana maknanya sudah baik, cuma buruk kepada si perawi.

Menurut Al Hafidz Ibnu Hajar al Asqalani, (gelaran Al Hafidz di hadapan nama diberi kepada mereka yang hafaz ratusan ribu hadis)..
"Yang benar, menurut Imam Bukhari hadits ini (doa di atas) sangat munkar".
[Imam Ibnu Hajar al Asqalani, Lisanul Mizan, 5/165]

Ada pon doa tersebut bukanlah suatu yang buruk, bahkan ianya mempunyai makna yang baik untuk dibaca dan diamalkan sebagai doa makan. Cuma harus diingat doa tersebut di atas BUKAN daripada Nabi SAW. Jangan kata itu doa dari (hadis) Nabi SAW. Selain dari itu, ianya boleh dibaca sebagai doa biasa sahaja. Jadi doa tersebut jelas bukan dari hadis Nabi SAW, tetapi boleh saja diamalkan sekiranya kita mahu, dan janganlah kita berbalah tentangnya, bila sudah tahu statusnya.


Doa Makan Yang Hasan (Status Hadis Yang Baik)

Terdapat suatu doa makan dari hadis Nabi SAW yang Hassan (Statusnya Baik), diriwayatkan oleh At Tirmidzi, iaitu..

"Allahumma baarik lana fihi wa ath’imna khairan minhu"

Rasul SAW bersabda:

: مَنْ أَطْعَمَهُ اللَّهُ طَعَامًا فَلْيَقُلْ
، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ ، وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
: وَمَنْ سَقَاهُ اللَّهُ لَبَنًا فَلْيَقُلْ
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ

Barangsiapa yang diberi makan oleh Allah hendaklah ia mengucapkan,
"Ya Allah, berkatilah kami (akan makanan ini) di dalamnya, dan berilah kami makan yang lebih baik darinya".
Dan barangsiapa yang Allah beri minum susu kepadanya hendaklah ia berkata (berdoa),
"Ya Allah berkatilah kami (akan susu ini) padanya dan tambahkanlah kami darinya".
[Shahih At-Tirmidzi 3/158]


Syarah Doa Makan & Doa Minum Susu ini juga seperti yang disampaikan oleh Ustaz Dato Shamsuri Haji Ahmad di atas.


Doa Makan Yang Sahih, "Sebutlah Nama Allah"

1. Riwayat Umar bin Abi Salamah:

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan akan bacaan (doa) ketika hendak makan, iaitu dengan hanya menyebut Nama Allah, "Bismillah".

عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ، يَقُولُ : كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ»

Maksudnya: Daripada Umar bin Abi Salamah katanya:
Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Rasulullah SAW tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Rasulullah SAW berkata kepadaku: "Wahai anak, sebut nama Allah (baca bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu".

[Hadis riwayat al-Bukhari (Jilid. 5, hlm. 2056) dan Muslim (Jilid. 6, hlm. 109)

2. Riwayat A'isyah RA:



عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهَاأَنَّ رَسُولَ اللّٰهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرْ اسْمَ اللّٰهِ تَعَالَى فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللّٰهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللّٰهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ.

Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia menyebutkan nama Allah SWT. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah SWT pada awalnya, hendaklah dia mengucapkan:
بِسْمِ اللّٰهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ
(Dengan nama Allah pada setiap permulaannya dan pengakhirannya)".

[Hadith riwayat Abu Dawud, No. Hadith : 3767, At-Tirmizi, No. Hadith : 1858, Abu 'Isa berkata : Hadith ini adalah hasan sahih]

3. Riwayat A'isyah RA:

Daripada Aishah RA katanya,
"Rasulullah SAW menghadapi hidangan bersama 6 orang sahabat Baginda, tiba-tiba datang seorang Arab (badwi) lalu makan makanan tersebut dengan 2 kali suapan sahaja. Lalu Baginda bersabda, "Sekiranya orang itu membaca Bismillah sebelum ia makan nescaya makanan itu mencukupi untuk semua (ada keberkatannya pada makanan tersebut)".

[Hadith Riwayat At-Tirmizi, katanya hadith hasan sahih]

wallahua'lam..

.

Rujukan:
  • http://www.islam.gov.my/e-hadith/416-mengucapkan-bismillah-ketika-makan
  • http://www.islam.gov.my/e-hadith/1357-tuntutan-membaca-bismillah-sebelum-makan
  • http://rozaimiramle.blogspot.com/2013/04/status-hadis-berkaitan-doa-makan-yang.html

14 comments:

Powered by Blogger.