Hikmah Derma Darah

Derma Darah

Cuti Ahad lepas 3 November (hari kedua Deepavali, iaitu semalam) saya telah (alhamdulillah dengan izin Allah) dapat menyempurnakan hajat yang dah lama berniat iaitu untuk melakukan:
  • Amalan baik kerana Allah,
  • Berbakti kepada Manusia,
  • sekaligus Menderma Harta yang Sangat Bernilai
Jadi saya pergi ke Pusat Darah Negara - PDN untuk Menderma Darah. Kenapa saya sebutkan 3 perkara di atas, bukan untuk menunjukkan saya ni macam bagus, tapi ingin saya tekankan bahawa betapa mulianya orang² yang mendermakan darah mereka demi sebuah kehidupan orang lain.. serta menggalakkan lebih ramai lagi Muslimin terutamanya menderma darah sebagai saham akhirat, insya'Allah.. juga memelihara kesihatan diri kita sendiri.

Tahukah Anda Betapa Mahalnya 'Harga' Darah Anda..?

Sedarkah anda bahawa Tidak ada alat canggih yang mampu menggantikan Darah, sebagaimana organ tubuh kita yang lain boleh digantikan dengan kecanggihan teknologi moden, seperti jantung manusia mampu dicipta jantung tiruan guna bateri, walaupon tidak setanding organ asli ciptaan Allah S.W.T. Begitu juga dengan buah pinggang yang rosak, mampu diambil alih tugasnya oleh mesin dialisis mencuci buah pinggang.

Tetapi darah adalah suatu anugerah Allah yang sangat istimewa, syukur alhamdulillah..
Darah merupakan suatu organ unik yang mengalir dan berhubung keseluruh tubuh hingga ke berjuta-juta sel dalam badan kita. Buktinya setiap kali kita terluka dimana² bahagian tubuh pasti darah akan keluar. Tidakkah anda merasa uniknya organ yang satu ini..? Betapa hebatnya nikmat darah anugerahNya.

Dan yang lebih istimewanya Darah antara organ kita yang mampu kita dermakan tanpa menjejaskan kesihatan kita. Sekiranya anda sihat tubuh badan (sila lihat Syarat² Menderma di bawah), anda tak akan rasa terjejas dengan menderma darah. Perasaan atau sangkaan tubuh akan jadi lemah, lesu atau letih hanyalah mitos semata². Saya akui sendiri selepas menderma darah buat pertama kalinya semalam.

Syarat-Syarat Menderma Darah

Istimewanya Penderma Darah adalah kerana tidak semua orang layak untuk menjadi seorang penderma darah. Hanya yang benar-benar layak untuk menjadi penderma darah adalah mereka yang memiliki kriteria berikut:
  • Sihat tubuh badan, tak ada masalah kesihatan.. terutama pada hari nak menderma darah.
  • Berumur antara 18 - 60 tahun. 61 - 65 tahun boleh juga tapi perlukan kelulusan bertulis doktor.
  • Berat badan anda mesti lebih 45 kg.
  • Cukup tidur, 5++ jam pada hari nak menderma darah.
  • Sudah makan pada hari nak menderma darah.
  • Tidak mengambil ubat (dadah) tertentu pada hari nak menderma.
  • Tidak melakukan hubungan seks sejenis (wal 'iya zubillah), seks rambang, segala yang haram.
  • lihat kriteria penuh
Mereka yang memiliki ciri² di atas adalah golongan istimewa yang diberi anugerah kesihatan dan kemampuan berbakti serta menjadi penyelamat nyawa manusia² lain.
Mereka yang Menderma Darah berjuang secara senyap tanpa diketahui pihak yang menerima darah, iaitu pihak yang diselamatkan. Mereka adalah Hero.
Namun golongan yang memiliki ciri² di atas andai tidak mahu atau tidak berniat menderma darah adalah golongan yang rugi kerana tidak mahu merebut peluang menikmati hikmah dan ganjaran balasan yang bakal Allah anugerahkan kepada mereka (insya'Allah).

Ingat semula perihal Manusia DiHisab Di Akhirat | Soalan Tubuh Badan - Pada perkara apakah telah digunakan..? Maka (insya'Allah) anda boleh menjawab anda telah Menderma Darah, membantu nyawa manusia lain..

Hikmah Menderma Darah


Setiap Penderma Adalah Hero,
Every Blood Donor Is A Hero
.

Bayangkan Darah yang anda dermakan mengalir ke dalam tubuh-tubuh manusia (yang mungkin mati tanpanya), betapa berjasanya anda telah menyelamatkan nyawa-nyawa manusia. Apakah dan berapa banyakkah ganjaran yang akan anda perolehi..? Ikhlaskan niatkan anda untuk Derma Darah membantu menyelamatkan nyawa (demi Allah).

SeMulia-Mulia Sedekah

  • Syeikh Yusuf Qaradhawi pernah menyatakan bahawa menderma darah adalah semulia-mulia sedekah.
  • Menderma darah adalah menyelamatkan nyawa, berapakah nilai suatu nyawa manusia..? Berapakah harga yang sanggup seorang manusia bayar untuk selamat..? bayangkan.. pastinya sangat mahal.
  • Fikirkan sorang jutawan sanggup membayar jutaan ringgit / dollar untuk selamatkan nyawanya atau nyawa keluarganya dari musuh seperti penculik, dll. Apatah lagi nyawa seseorang yang sedang kritikal memerlukan darah untuk hidup.

Al Qur'an & Hadis

  • Orang yang membantu kehidupan orang lain seumpama dia membantu kehidupan seluruh manusia di dunia. Lihat Al Qur'an, Surah Al Maidah (5), Ayat 32.
"dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.[AQ 5:32] rujukan
Ayat di atas cukup rasanya menyatakan betapa Allah sendiri dah bagitahu betapa mulianya amalan Derma Darah.
  • “Sesiapa yang membantu mencukupkan keperluan saudaranya, maka Allah pula membantu mencukupkan keperluannya. Sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim, maka Allah melepaskan pula kesusahannya kelak pada hari kiamat.” [Riwayat Muslim]
  • “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” [HR At Thabrani & Daruquthni]

Merangsang Kesihatan

  • Menderma darah membantu merangsang pembentukan sel-sel darah yang baru menggantikan sel-sel darah yang lama.
  • Darah yang baru ini pula mempunyai keupayaan untuk membawa oksigen yang lebih baik berbanding sel darah merah lama.
  • Penghasilan sel darah baru itu memerlukan penggunaan Zat Besi di dalam badan, proses ini secara tidak langsung mengurangkan pengumpulan zat besi yang berlebihan di dalam badan, terutama pada organ penting seperti jantung.
  • Sekiranya zat besi terkumpul secara berlebihan, potensi bagi individu untuk menghidap serangan jantung amat tinggi. Zat besi yang berlebihan tersebut akan mempercepatkan pengoksidaan kolestrol.. seterusnya menyebabkan keladak di dalam pembuluh darah lebih parah lagi bukan sahaja jantung, strok (angin ahmar), organ hati, dll.
  • Sebagai penderma darah, anda juga secara tak langsung sentiasa peka akan kesihatan diri anda, sentiasa bersama doktor yang memeriksa darah anda setiap 3 bulan sebagai penderma tetap.

Faedah Penerima

  • Pastinya faedah terbesar yang anda lakukan adalah menyelamatkan nyawa pesakit. Mereka terselamat dengan darah sumbangan anda. Betapa berharganya nyawa yang hidup itu.
  • Satu unit darah (antara 300ml - 450ml) yang didermakan, mampu menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan, ibu yang tumpah darah ketika bersalin, pesakit demam denggi, pesakit talassemia, anemia, leukemia dan haemofilia, bayi yang perlu menjalani pertukaran darah, dll.
  • Penderma darah membantu 3 nyawa - seorang penderma darah sebenarnya mendermakan 3 jenis komponen iaitu sel darah merah, platelet dan plasma.. yang mana penerima mungkin memerlukan salah satu komponen tersebut secara khusus. Secara ringkasnya:
    • Sel darah merah - untuk masalah kekurangan hemoglobin seperti penyakit buah pinggang dan kanser.
    • Platelet - untuk pesakit mengalami kekurangan platelet seperti demam denggi dan leukemia.
    • Plasma - bagi pendarahan semasa bersalin, melecur akibat kebakaran serta pendarahan ekoran kerosakan hati.
      Tak perlu fikir banyak, itu tugas doktor terbabit, anda hanya perlu pergi derma darah.
  • Anda 'Top-Up' Tabung Darah Negara dengan memenuhi permintaan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.. sebagaimana kita sentiasa berdoa mengharapkan rezeki Allah sentiasa ada untuk kita teruskan hidup.
Secara semulajadinya, Tuhan menjadikan darah dalam badan kita ni tahan sekitar 120 hari (+/-3 bulan), selepas tempoh ini darah akan musnah (expired) dan digantikan dengan darah baru. Dengan kata lain tubuh sentiasa berupaya menghasilkan darah baru menggantikan darah yang 'sudah tua'. Jadi amalan menderma darah adalah pilihan tepat untuk kita menyumbang harta yang sangat bernilai ini untuk mereka yang sangat-sangat memerlukan.

Keistimewaan Diperolehi Sebagai Penderma Darah


Selain dari pahala yang melimpah² hasil dari darah anda mengalir dalam tubuh manusia lain, anda sebagai Penderma Darah juga diberi keistimewaan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Jadi andai tiada perlindungan insurans pun anda tak perlu risau, anda akan mendapat keistimewaan rawatan dan wad-wad kerajaan.

  • Mula-mula darah anda akan diperiksa untuk pengelasan jenis, A, B, AB atau O, kalau anda belum tahu, maka anda akna tahu jenis darah anda. Selesai menderma anda akan diberi hidangan ringan, kira separuh ringan laa, ada mee, 2 jenis kueh & sebiji buah epal, serta secawan minuman panas.
  • 1 kali (pertama kali) - Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan (tak termasuk bayaran X-ray & pembedahan) dan wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan.
  • 2 kali (dalan tempoh 12 bulan) - Percuma suntikan pencegahan Hepatitis B
  • 2 ~ 5 kali - Percuma rawatan pesakit luar, rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan.
  • 6 ~ 10 kali - Percuma rawatan pesakit luar selama 1 tahun dan rawatan perubatan kelas dua untuk tempoh 6 bulan.
  • 11 ~ 15 kali - Percuma rawatan pesakit luar selama 2 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 1 tahun.
    seterusnya sila lihat Keistimewaan Penderma Darah.

Mitos (Yang Tidak Benar) Tentang Menderma Darah


  • Menderma darah menakutkan.
    - Kenapa perlu takut..? Melainkan anda memang fobia pada darah..!!
  • Menderma darah menyakitkan.
    - Tidak..!! Anda hanya akan rasa 1 saat cucukan jarum seperti gigitan nyamuk sahaja.. sedangkan gigitan nyamuk lebih menyiksakan hingga beberapa minit.
  • Menderma darah menggemukkan.
    - Mitos yang ni mungkin dalam minda golongan wanita ;) Siapa yang kata ni..? Derma darah sama seperti kita minum air, guna air, buang air, - refill, guna, buang. Makan tak jaga saja yang akan buat badan gemOk.
  • Derma darah buat badan lemah.
    - Perasaan ni mungkin ada bagi sesetengah 'first timer' seperti saya dulu. Hakikatnya tiada langsung rasa tak selesa selepas selesai menderma darah. Cuma mungkin ada rasa sedikit ketika sedang menjalani pengeluaran darah itu, mungkin tak semua orang rasa (ikut tahap tubuh), mungkin 'first timer' sahaja. Selesai menderma dan berehat dalam 10 minit, tubuh kembali rasa normal.

Jom kita berniat untuk menjadi Pernderma Darah tetap, kemudian pergi menderma darah.. semoga dipermudahkan niat anda. Sebaik²nya anda harus pergi sendiri ke Hospital, kalau di Kuala Lumpur - Pusta Darah Negara (sebelah Perpustakaan Negara) Jalan Tun Razak, dan hospital² kerajaan yang lain.
  • Kemudahan disediakan di hospital² khas ini jauh lebih baik dari pusat kempen derma darah di shopping kompleks dll..
  • Kadang² di pusat² kempen derma darah tidak kelihatan alat yang mencukupi untuk anda juga petugas² (seperti tiada alat penggoyang / pengacau beg darah).
  • Darah yang telah dikumpul perlu terus disimpan ke dalam tempat menyimpan darah, jadi kalau kita pergi terus ke hospital lebih baik & afdal.
  • Usaha anda pergi rasanya lebih baik dari mereka datang ke tempat anda.. seumpama setiap langkah anda ke masjid dikira 1 pahala, begitulah andai boleh diibaratkan.
Wallahu'alam..


credit:
http://www.pdn.gov.my
http://otodidakilmu.blogspot.com
http://www3.pmo.gov.my
http://www.who.int
http://perubatan.org/v3/kehidupan/153-kesihatan/2137-derma-darah-manfaat-dan-keperluan

No comments:

Powered by Blogger.